Lelaki berusia 25 tahun ditahan buat laporan palsu bagi mengelakkan dirinya didenda JPN di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Hanya kerana mahu mengelak membayar denda, seorang operator kilang sanggup membuat laporan palsu yang mendakwa dirinya disamun dua lelaki di Jalan Perusahaan Baru 2, Perai di sini semalam.

Bagaimanapun, hasil risikan dan soal siasat Inspektor Mohd Hafizul Mohd Azizan dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah berjaya membongkar penipuan lelaki berusia 25 tahun itu.

Suspek dakwa disamun dua lelaki di Jalan Perusahaan Baru 2, Perai di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, berdasarkan laporan dibuat suspek, dia memberitahu dirinya disamun dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX-5 ketika berada di lokasi kejadian pukul 9.30 malam.

“Akibat kejadian samun itu, suspek mendakwa kehilangan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai sebanyak RM30,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shafee, hasil siasatan dilakukan pihaknya mendapati kejadian samun itu tidak berlaku.

“Semakan mendapati ini merupakan kali keempat suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu kehilangan kad pengenalannya.

“Suspek mengaku membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak bayaran denda daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tidak tahu di mana kad pengenalannya tercicir,” ujarnya.

Tambah Shafee, walaupun kes sebegini kerap kali diingatkan dan diberi amaran melalui laporan media namun masih ada individu tidak bertanggungjawab bertindak sedemikian.

“Saya ingin ingatkan kepada orang ramai, jangan hanya kerana mahu mengelak denda mereka sanggup membuat laporan palsu.

“Padah lebih buruk iaitu hukuman lebih berat dan sabitan mahkamah yang dikenakan adalah kekal dalam rekod jenayah kepada individu didapati bersalah melakukan kesalahan itu,” kata Shafee. – MalaysiaGazette