M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Prestasi pasaran buruh pada suku keempat tahun 2020 menunjukkan pemulihan yang sederhana dalam persekitaran pengangguran yang sedikit meningkat.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri-negeri utama menyumbang kepada prestasi sederhana ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Saravanan.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, kadar kehilangan pekerjaan (LOE) dalam kalangan pekerja sektor swasta telah berkurangan.

Manakala, kadar penempatan pekerjaan terutamanya bagi kategori pekerjaan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) telah meningkat.

Walau bagaimanapun, penciptaan pekerjaan kategori pekerja bergaji hanya berkembang pada kadar 1.1% berbanding 7.5% pada suku yang sama tahun 2019.

Kategori pekerja bergaji adalah sekitar 77% daripada jumlah tenaga kerja negara pada tahun 2019 dan penciptaan pekerjaan yang lebih perlahan bagi kategori ini dilihat sebagai penyumbang utama kepada kadar pengangguran di Malaysia.

Ini adalah antara hasil laporan suku tahunan “Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery” yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA).

EU-ERA adalah pusat penyelidikan kolaboratif antara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), KSM dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS).

Saravanan menambah, dalam keseluruhan tahun 2020, pemulihan pasaran kerja bercirikan bentuk “trapezoid” yang mencerminkan trend pergerakan yang tidak seimbang di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.

Jelasnya, keadaan ini memerlukan perhatian serius kerana ia menunjukkan lebihan pencari kerja yang meningkat lebih pantas berbanding pewujudan peluang pekerjaan.

KSM menjangkakan ketidakpadanan antara pekerjaan dan kelayakan akan kekal dalam pasaran buruh disebabkan jumlah permintaan pekerjaan yang tinggi oleh kategori pencari kerja bukan PMET.

Bagaimanapun, KSM mengunjurkan prestasi pasaran buruh yang lebih baik dalam tahun 2021, tetapi masih memerlukan intervensi khusus dengan jangkaan kadar pengangguran berada di antara 4.2% dan 4.3%.

Katanya, di sebalik unjuran tersebut, terdapat beberapa isu yang terus mengekang pasaran buruh negara, antaranya kesulitan bagi bakal pekerja untuk mendapatkan pekerjaan, ketidakpadanan pekerjaan-kelayakan, peningkatan pekerjaan tidak formal dan pertumbuhan upah yang lebih perlahan. – MalaysiaGazette