KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, Kuantan, Pahang akan ditamatkan esok berbanding tarikh yang dijadualkan pada 9 April ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan ujian saringan ke atas 481 individu mendapati sebanyak 89 kes direkodkan setakat ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Guru, Kuantan, Pahang pada 5 April ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kerajaan juga melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Keningau, Sabah untuk tempoh 14 hari lagi bermula esok hingga 18 April ini.
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PkP di daerah Keningau, Sabah yang dijadualkan tamat hari ini.
“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes Covid-19 telah direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung telah dilaksanakan PKPD ketika ini.
“KKM turut mengesahkan wujud beberapa kluster baharu dan masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti dengan jumlah kes aktif dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 148 kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















