Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Keraajaan Perikatan Nasional didakwa mahu menangguhkan Undi18 sehingga September 2022 namun tidak mahu membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibahaskan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa, Perikatan Nasional takut untuk berdepan dengan soalan dan perbahasan.

Beliau yang menyifatkan sistem demokrasi di Malaysia sudah semakin tenat apabila sidang Parlimen terus ditangguhkan tanpa justifikasi.

Sudah dua kali sidang Parlimen ditangguhkan dalam tempoh dua tahun ini.

” Pada 18 Mei 2020, sesi sidang Parlimen hanya dibuat dalam masa 1 hari sahaja. Pada tahun ini, sidang Parlimen terus ditangguh dan Dewan Rakyat tertutup rapat.

”Langsung tidak ada justifikasi mengapa Parlimen ditutup, sedangkan stadium bola, pasar malam, pusat beli belah, pangggung wayang dan sekolah semua dibuka macam biasa,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan yang membawa usul Undi 18 di Parlimen kerana ia tempat semua Rang Undang-Undang dibahas dan diluluskan.

Ketika itu, 95% Ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang sokong dan luluskan usul ini.
”Waktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kami hormat dan junjung institusi Parlimen Kalau ada hal yang perlu dibuat untuk kebaikan negara dan rakyat, Parlimen adalah tempat terbaik untuk kerajaan dan pembangkang bincang dan bahas, ujarnya.
Bagaimanapun Syed Saddiq berkata, Hannah Yeoh, Dr Maszlee Malik dan Maria Chin dipanggil polis bagi siasatan ke atas tindakan protes Undi 18.

Sedangkan, dakwanya protes bukan dimahukan oleh mereka dan yang diperlukan oleh negara.

”Memetik kata YB Hannah, “Persoalan ini (UNDI 18) patut dijawab di Parlimen, bukan balai polis”,” ujarnya. – MalaysiaGazette