Remaja berusia 16 tahun antara tiga individu ditahan uji motosikal dengan merempit secara bahaya dalam Ops Samseng Jalanan di Lebihraya Grand Saga Kajang tengah malamtadi oleh JSPT Bukit Aman. Foto: JSPT

KUALA LUMPUR – Aksi berani seorang remaja berusia 16 tahun yang merempit bagi menguji kelajuan motosikalnya membawa padah apabila diberkas polis.

Lelaki yang tidak bersekolah itu antara tiga individu yang ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan kerana didakwa merempit di Lebuh Raya Grand Saga menghala ke Kuala Lumpur tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman jam 12.30 tengah malam.

Katanya, semasa operasi ketiga tiga penunggang motosikal usia remaja itu sedang melakukan aksi bersaing sesama sendiri termasuk aksi Superman dan zig zag atas motosikal.

“Kesemua penunggang remaja itu adalah berusia 16 dan 20 tahun dan ditahan atas kesalahan merempit secara berbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Nadzri, siasatan lanjut mendapati mereka melakukan terbang seperti superman dan zig zag menggunakan motosikal bermula dari Kilometer 17 Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Dukung sehingga Kilometer 15 susur ke Cheras Perdana di Lebuh Raya Grand Saga.

Tambah beliau, ketiga-tiga remaja berkenaan turut membuat pusingan menghala ke arah Kajang dan kembali berlumba dari Kilometer 15 Cheras Perdana sehingga ke Kilometer 20 dan mengulangi aksi berkenaan.

Ujarnya, siasatan juga mendapati mereka melakukan aksi berbahaya dengan motosikal kerana dengan alasan mahu menguji motosikal masing-masing.

“Ekoran tangkapan tiga individu itu, kesemua motosikal mereka iaitu jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Lagenda 115Z yang digunakan untuk merempit telah disita polis untuk tindakan lanjut.

“Ketiga-tiga remaja berkenaan dan motosikal mereka yang disita telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes sedang disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau.-MalaysiaGazette