Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 137 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Dari jumlah itu, 114 dikenakan kompaun, 10 direman dan 13 individu lagi dijamin, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, antara kesalahan yang direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan seramai 71 individu, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (32), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (19), penjarakan fizikal (lima) dan lain-lain kesalahan 10 orang.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis turut melakukan 59,908 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebanyak 3,309 pasukan pematuhan melibatkan 14,602 anggota telah membuat pemantauan di 4,189 pasaraya, restoran (5,237), kilang (2,017), bank (3,740), pejabat kerajaan (829) dan penjaja (2,923).

Turut dipantau katanya, pasar awam/tani (2,543), tempat ibadah (3,214), tempat riadah (1,778), terminal pengangkutan darat (1,429), terminal pengangkutan air (384) dan terminal pengangkutan udara (128).

Sementara itu, dalam Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan telah menangkap empat Pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga bot atau kapal serta empat kenderaan darat.

“Sebanyak 49 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan. Seramai dua PATI turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kata Ismail Sabri, Op Benteng melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain yang turut menjalankan 257 Sekatan Jalan Raya (SJR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast