KOTA TINGGI – Bau busuk yang dihidu pengguna jalan raya di Jalan Sungai Ara ke Jemaluang di sini bukan sahaja mengundang rasa tidak selesa bahkan dikhuatiri memberi kesan negatif ke atas kesihatan penduduk berhampiran.
Seorang pengguna, Nazry @ Eruan Nawang, 47, berkata, dia yang melalui jalan terbabit hampir setiap hari amat terganggu dengan keadaan tersebut.
Katanya, dia bekerja sebagai kontraktor berulang alik dari rumahnya di Bandar Penawar ke Mersing mula menyedari bau kurang enak itu kira-kira sebulan yang lalu.
“Bau seakan bau telur tembelang dan ikan busuk siapa yang melalui jalan itu pasti akan tidak selesa.
“Bahkan kalau buka pendingin hawa pun bau busuk itu tetap masuk ke dalam kereta. Sebelum ini hujan lebat turun beberapa hari bau tersebut hilang.
“Namun kini walaupun hujan masalah bau itu masih ada, tidak hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nazry mendakwa masalah itu dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa haram di kawasan jalan berkenaan.
Katanya, dia yang meninjau sendiri kawasan terbabit mendapati terdapat kesan dipercayai sisa-sisa buangan di kawasan jalan terbabit.
Tinjauan juga mendapati kebanyakan pokok di sekitar kawasan berkenaan kelihatan sudah mati.
Tambah Nazry, dia difahamkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah datang ke kawasan tersebut untuk melakukan pemantauan tiga hari lalu.
Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan.
“Bila kita tanya JAS, JAS kata ini di bawah Majlis Perbandaran Kota Tinggi. Jadi perkara sedemikian menyukarkan. Seolah-olah dia tolak dia.
“Saya bimbang jika betul berlaku pembuangan sisa-sisa haram itu, bahan itu pasti akan mengalir ke dalam sungai kemudian sampai ke loji air yang digunakan penduduk dan bukankah akan mengundang perkara tidak baik kepada penduduk.
“Diharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan lebih mendalam sekali gus mengatasi masalah pencemaran bau ini,”katanya.
Kata Nazri, masalah itu turut memberi kesan kepada tanaman di kawasan itu.
Apa yang dibimbangkan masalah bau yang berlaku sejak sebulan itu boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada orang ramai.
Jelasnya, pihak berwajib seharusnya lebih bertanggungjawab menyelesakkan masalah berkenaan dengan kadar segera.
Ini kerana, masalah yang berpunca daripada sisa buangan haram itu dibimbangi akan memberi kesan sama seperti kejadian Sungai Kim Kim di Pasir Gudang. – MalaysiaGazette