Ab Rauf menunjukkan sebilah Keris Sundang berusia lebih 600 tahun dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi sejak turun temurun.

MELAKA – Kerajaan negeri menerima sebilah Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum berusia lebih 600 tahun dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi sejak turun temurun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penyerahan artifak bersejarah itu disempurnakan waris ke-11 Laksamana Hang Tuah dari Kepulauan Bentan, Riau, Indonesia Mohd Amin Tun Ahmad di  Ayer Keroh, hari ini.

Menurutnya, artifak Keris Sundang yang diserahkan itu dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi sejak turun temurun manakala, sepasang Keris Hukum pula adalah yang dititahkan oleh Sultan kepada Bendahara untuk dijatuhkan hukuman kepada Hang Tuah.

“Ini adalah sebahagian daripada warisan bersejarah untuk tatapan rakyat Negeri Melaka khususnya generasi muda bagi memahami sejarah dan kehebatan Laksamana Hang Tuah dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Tentunya artifak kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang kita terima daripada waris ke-11 Hang Tuah ini bakal menjadi tarikan utama sempena Pameran Hang Tuah yang dijadualkan dijalankan pada bulan Jun 2024 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri percaya, dengan penemuan penemuan-penemuan artifak dari pelbagai negara berkaitan Laksamana Hang Tuah, itu akan dapat meluruskan kebengkokan sejarah oleh penjajah berkaitan Hang Tuah serta Kesultanan Melayu Melaka.

Majlis Penyerahan Artifak Laksamana Hang Tuah itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut sama, Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah Prof Datuk Dr Taib Dora dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamzah. – MalaysiaGazette