KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diperkukuh bagi memperluas akses masyarakat luar bandar kepada program pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran, keusahawanan dan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Usaha itu dibincangkan dalam Bengkel Kerjasama Strategik PKD-NADI yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, bengkel selama dua hari itu bertujuan memperincikan penyelarasan serta memperkukuh hala tuju sinergi antara kedua-dua pusat komuniti berkenaan.
Acara tersebut turut menghimpunkan wakil Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MCMC serta pihak berkaitan.
Menurut MCMC, menerusi bengkel itu, pelbagai isu, cabaran dan cadangan diteliti bagi membentuk model kolaborasi PKD-NADI yang lebih berkesan, termasuk aspek perkongsian kemudahan, penyelarasan program komuniti dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
“Kerjasama itu selaras dengan pendekatan whole of government bagi mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan sumber sedia ada serta meningkatkan capaian perkhidmatan dan program pembangunan komuniti.
“Hasil perbincangan akan menjadi input kepada kedua-dua kementerian dalam memperincikan kerangka pelaksanaan serta langkah susulan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Pada masa ini, terdapat 1,099 NADI di bawah KK dan 191 PKD di bawah KKDW di seluruh negara yang berperanan dalam pembangunan serta pemerkasaan komuniti, khususnya masyarakat luar bandar.
NADI kini mempunyai lebih dua juta pengguna dan melaksanakan Program Perkhidmatan Pintar NADI dalam lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.
Sementara itu, PKD telah melaksanakan lebih 29,000 program yang memberi manfaat kepada lebih 746,000 penduduk luar bandar dalam tempoh lima tahun.
Model NADI turut menerima pengiktirafan menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Capacity Building serta sebagai Digital Transformation Center (DTC) ke-16 dunia oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Mac 2026.
Pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan NADI dalam pembangunan kapasiti dan transformasi digital komuniti, sekali gus menjadi asas kepada kerangka kerjasama PKD-NADI. – MalaysiaGazette
















