MELAKA – Penantian masyarakat Sungai Udang selama lebih 20 untuk memiliki Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang baharu akhirnya menjadi kenyataan.
Pembinaan itu direalisasikan apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melakukan pecah tanah projek bernilai hampir RM10 juta di tapak sekolah itu di Sungai Udang hari ini.
Dalam ucapannya pada majlis pecah tanah itu, Ab Rauf melahirkan kesyukuran ekoran penantian yang panjang penduduk Sungai Udang dinoktahkan.
“Dalam penantian 20 tahun untuk membina SRA JAIM Sungai Udang, akhirnya segala impian menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah sekolah itu sempena program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Kampung Sungai Udang hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf berkata, pembinaan SRA JAIM Sungai Udang bukan sekadar menyediakan kemudahan pendidikan lebih selesa malah menjadi pelaburan penting dalam membentuk generasi yang kukuh dari sudut ilmu dan rohani.
“Terima kasih kepada semua pemimpin yang bersungguh-sungguh memastikan generasi masa depan mendapat perlindungan dari segi rohani di bumi Sungai Udang,” katanya.
Kerajaan negeri, tegasnya, tetap meletakkan nilai agama Islam berada pada tahap tertinggi dalam pentadbiran.
Justeru, kata beliau, pendidikan agama terus diberi perhatian sebagai asas pembentukan generasi masa depan.
“Dalam membina masyarakat masa depan, nilai agama Islam dalam pentadbiran saya tidak pernah diketepikan,” katanya.
Kerajaan negeri, kata beliau, akan terus memberi sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan agama bagi memastikan anak muda mempunyai asas kukuh dalam aspek kerohanian.
Tambahnya, SRA JAIM Sungai Udang dibangunkan bagi menampung pertambahan bilangan murid di SRA Sungai Udang yang meningkat setiap tahun selain menyediakan kemudahan asas lebih baik kepada murid dan guru serta meningkatkan akses serta ekuiti pendidikan agama.
Kompleks baharu itu dibangunkan di kawasan seluas 0.5 hektar yang berstatus Rizab Jabatan Agama Islam Melaka. Projek bernilai RM9.45 juta itu merangkumi tiga komponen utama iaitu blok bilik darjah, blok kantin dan blok surau.
Pembinaan kompleks berkenaan dijangka siap pada 28 Mac 2029. – MalaysiaGazzette
















