Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menunjukkan info grafik pada sidang Media Penjajaran Semula ECRL oleh di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 5 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengubah semula jajaran Seksyen C Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 ke Jajaran Utara seperti yang dicadangkan dalam tahun 2016 hingga 2017.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jajaran itu melibatkan laluan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50 bilion yang mana kosnya lebih rendah kos ECRL 2.0.

“MOT sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia pelaksanaan projek ECRL mendapati jajaran utara akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan projek ECRL di sini hari ini.

Tambah beliau, projek ECRL 3.0 akan melibatkan infrastruktur projek Serendah Bypass sebagai sebahagian daripada jajaran dan skop projek untuk menarik lebih muatan kargo.

Berikutan itu, ujarnya, kerajaan akan dapat melakukan penjimatan daripada segi perbelanjaan infrastruktur dengan melaksanakan dua projek pada satu harga.

“MOT mencadangkan jajaran ECRL di antara Serendah dan Pelabuhan Klang kini merangkumi dua jenis landasan iaitu landasan tolok standard (1.435 meter) untuk ECRL dan landasan tolok meter (1 meter) untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Landasan tolok akan berfungsi sebagai laluan lintasan rel atau rail bypass line untuk kargo KTMB di antara Serendah dan Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Ka Siong berkata, berdasarkan kajian industri rel, ECRL akan membawa 26.12 juta tan kargo bagi tahun pertama operasi melalui jajaran utara, jauh lebih tinggi berbanding anggaran muatan kargo bagi jajaran selatan iaitu 9.0 juta tan utnuk tempoh yang sama.

“Jajaran utara sememangnya memfokuskan kepada pengangkutan kargo untuk ECRL kerana jajaran ini akan menjadi sebagai landbridge (jambatan darat) dari Pelabuhan Kuantan ke dua buah terminal di Pelabuhan Klang iaitu Northport dan Westports.

“Jajaran ECRL yang berhubung dengan stesen KTMB di Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) menerusi jajaran utara, juga akan menjadikan stesen Jalan Kastam sebuah platform yang strategik bagi perkhidmatan penghantaran kargo ke destinasi ke Northport dan Westports.

“Oleh demikian, penambahan landaan ECRL dari stesen Jalan Kastam masing-masing sebanyak 6 kilometer (km) ke Northport dan 24 km ke Westports akan dapat memudahkan perkhidmatan penghantaran kargo ke destinasi dan dapat mengelakkan isu double-handling untuk ECRL,” katanya lagi.

Jajaran ini, ujar Ka Siong, merangkumi 201 km panjang manakala ECRL 2.0 melibatkan 185 km, yang terkini secara keseluruhan adalah 665 km.

Menurut beliau, menerusi jajaran utara, ECRL 3.0 akan melibatkan pembinaan tujuh buah stesen dan  lima buah stesen yang akan dibina pada peringkat awal meliputi Temerloh, Bentong, Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam (Pelabuhan Klang).

Manakala dua buah stesen iaitu Puncak Alam dan Kapar di Selangor ditetapkan sebagai stesen perancangan masa hadapan.

“Pada peringkat awal pembinaan lima buah stesen tersebut empat daripadanya iaitu Temerloh, Bentong, Serendah Baru dan Jalan Kastam merupakan stesen penumpang dan kargo,” kata Ka Siong. – MalaysiaGazette