KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum dapat memutuskan lagi untuk membenarkan mereka yang selesai menerima dua dos vaksin merentas negeri dan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan akan membawa cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan kelulusan.
“Perdana Menteri ada membawa cadangan ini ke sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari lalu. Cadangannya ialah untuk pastikan inisiatif program imunisasi ini dengan membenarkan mereka yang lengkap dua dos ini boleh merentas negeri atau negara.
“Bagaimanapun, WHO masih lagi sedang memperhalusi cadangan ini dan setakat ini kita belum terima kebenaran untuk membenarkan mereka yang lengkap dua dos rentas daerah atau negara.
“Namun, sidang khas MKN mencapai persetujuan untuk membawa perkara ini secepat mungkin supaya boleh diputuskan (WHO) dan kita akan masuk ke fasa kedua tidak lama lagi,” katanya pada sidang media bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini.
Menurut Dr. Adham, dalam fasa pertama pemberian vaksin yang sedang berlangsung ketika ini kebanyakan, atau majoriti, daripadanya adalah barisan hadapan.
Katanya, mereka memang sudah boleh bergerak dari tempat kerja sama ada dalam daerah dan negeri dan itu berlaku untuk ke tempat kerja.
“Selain itu, mereka juga boleh merentas negeri dari negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP)(menerusi) syarikat agen yang diputuskan MKN.
Mengenai daerah yang bertukar status kepada hijau, beliau berkata, sehingga semalam, daripada 159 daerah yang ada kes Covid-19, 21 daerah sudah berstatus hijau.
Katanya, Sembilan daerah di Semenanjung yang bertukar hijau ialah Hulu Perak di Perak dan Kampar; Jelebu di Negeri Sembilan; Kedah pula melibatkan Langkawi, Bandar Baru Sik dan Yan, manakala di Pahang ialah Cameron Highland.
Bagi Sarawak pula, tujuh daerah dikategorikan sebagai hijau iaitu daerah Lundu, Simunjang, Pusar, Asa Jaya, Dalat, Daro dan Kabung.
Di Sabah, katanya, sudah ada peningkatan kawasan hijau iaitu daripada 27 daerah, lima daripadanya sudah bertukar hijau iaitu Ranau, Pitas, Kuala Penyu, Tongok dan Teleping.
“Ini menjadikan keseluruhan 21 daerah kawasan hijau dalam negara daripada 159 daerah,” katanya. – MalaysiaGazette
















