Telefon bimbit keluaran LG.

SEOUL – LG Electronics akan menutup perniagaan telefon pintar kerana mengalami kerugian.

Pada bulan Januari lau, syarikat gergasi elektronik Korea Selatan ini memaklumkan ia sedang melihat semua pilihan untuk perniagaan setelah mengalami kerugian hampir enam tahun dengan jumlah sebanyak AS$4.5 bilion.

LG telah membuat banyak inovasi termasuk kamera sudut ultra lebar, hingga menjadikan syarikat itu sebagai pembuat telefon pintar ketiga terbesar pada tahun 2013.

Tetapi, katanya, pasaran telefon bimbit “sangat kompetitif”.

Walaupun Samsung dan Apple adalah dua pemain terbesar di pasaran telefon pintar, LG mengalami masalah perkakasan dan perisiannya sendiri.

Ketika LG bergelut dengan kerugian, pihaknya telah mengadakan perbincangan untuk menjual sebahagian daripada perniagaan tersebut tetapi semuanya gagal.

Ia masih berada di kedudukan sebagai jenama ketiga paling popular di Amerika Utara tetapi telah merosot di pasaran lain.

Telefon LG masih dijual di pasaran Korea Selatan.

”Keputusan strategik LG untuk keluar dari sektor telefon bimbit yang sangat kompetitif akan membolehkan syarikat memusatkan sumber daya di bidang pertumbuhan seperti komponen kenderaan elektrik, peranti bersambung, rumah pintar, robotik, kecerdasan buatan dan penyelesaian perniagaan-ke-perniagaan, serta platform dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tahun lalu ia menghantar 28 juta telefon berbanding 256 juta untuk Samsung, menurut firma penyelidikan Counterpoint.

Perniagaan telefon pintar adalah yang terkecil daripada lima cabang perniagaan LG, merangkumi hanya 7.4% daripada sumbangan pendapatan.

Pada masa ini bahagian pasaran telefon bimbit globalnya adalah sekitar 2%.

Penganalisis berkata, Samsung dan China yang bersaing dengan Korea Selatan seperti Oppo, Vivo dan Xiaomi kemungkinan akan mendapat keuntungan paling banyak daripada penutupan perniagaan LG. – MalaysiaGazette