Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertemu dengan anak muda yang menjadi penghantar barangan e hailing menggunakan motosikal di Puchong kelmarin.

KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing digesa mempermudahkan proses bagi melayakkan pemandu motosikalnya mendapatkan perlindungan semasa menjalankan tugas.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perlindungan termasuk insurans penting memandangkan kerja mereka berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Rata-rata mereka mengadu bahawa pihak syarikat e-hailing tidak memberikan penerangan yang lengkap akan kepentingan skim perlindungan yang ada serta terbeban dengan keperluan birokrasi untuk melayakkan diri dalam skim yang ditawarkan,” ujarnya dalam satu entri di Facebook pagi ini.

Asyraf Wajdi difahamkan, mereka juga memaklumkan rata-rata tidak mengetahui sama ada mereka disediakan potongan PERKESO, insurans dan takaful.

Perkara demikian dibangkitkan oleh sebahagian anak muda yang menjadi penghantar barangan e hailing menggunakan motosikal di Puchong kelmarin.

Menurut Asyraf Wajdi, semakan pihaknya ke atas dasar perlindungan dua buah syarikat e-hailing utama iaitu Grab dan Food Panda mendapati kedua-duanya mempunyai skim perlindungan insurans harian serendah RM1 sehari dan ada yang boleh memohon faedah perlindungan PERKESO.

“Mengambil kira kesan pandemik Covid-19 pada ekonomi negara serta ratusan ribu yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, rakyat terpaksa bergantung harap kepada pekerjaan gig-economy seperti pemandu e-hailing bagi menyara diri dan keluarga.

“Pun begitu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghadapi wabak pandemik ini juga meningkatkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan terus ke pengguna, sekaligus meningkatkan pendapatan syarikat penyedia e-hailing,” katanya.

Apa pun, menurut Asyraf Wajdi, sumbangan penghantar barang e- hailing pada rakyat Malaysia perlu dihargai oleh semua dan justeru itu, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan kebajikan mereka.- MalaysiaGazette