Sebuah akaun di Twitter memaparkan beberapa keping gambar serta perbualan aplikasi WhatsApp yang mendakwa bekas suaminya mempunyai hubungan dengan seorang remaja sekolah.

AMPANG – Polis menafikan beberapa keping gambar dan perbualan aplikasi WhatsApp yang tular sejak semalam di laman Twitter dikaitkan dengan kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak.

Sebaliknya kes itu dilaporkan berlaku tahun lalu dan diklasifikasikan NFA (tiada tindakan lanjut) selepas dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, satu laporan diterima pada 9 November tahun lalu daripada seorang wanita yang juga bekas isteri kepada suspek memaklumkan dia mengesyaki bekas suaminya itu menjalinkan hubungan sulit dengan seorang remaja berusia 16 tahun di Taman Bukit Ampang.

Menurut Mohamad Farouk, polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 12(1)(a), 14(1) dan 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdasarkan laporan yang diterima.

“Pada 15 November, tangkapan telah dibuat ke atas suspek selepas dia hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan ditahan reman selama lima hari.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mengaku ada menjalinkan hubungan sulit bersama mangsa, hanya sekadar mempunyai hubungan bekas guru dan murid.

“Mangsa tidak mengaku ada menjalinkan hubungan sulit bersama suspek dan memberitahu hanya berkawan kerana suspek adalah bekas guru sambilan yang pernah mengajarnya subjek Matematik.

“Mangsa juga telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Perubatan,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 21 November dan diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Jelasnya, kes berkenaan di NFA atas alasan tiada keterangan yang jelas serta tiada elemen mencukupi untuk menuduh suspek melakukan kesalahan kerana mangsa juga menafikan ada kelakuan seksual dari suspek.

Semalam, sebuah akaun Twitter mendakwa seorang lelaki yang juga bekas suaminya mempunyai hubungan dengan pelajar sekolah berusia 15 tahun sehingga ciapan tersebut diulang kicau lebih 15,000 kali dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Akaun tersebut turut memaparkan beberapa keping gambar lelaki dan perbualan di aplikasi WhatsApp dengan mengaitkan ia dengan aktiviti ‘child grooming’.

Tinjauan mendapati sehingga kini akaun terbabit masih belum memadam posting berkenaan. – Malaysia Gazette.