Peguam, Tan Sri Shafie Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan perbicaraan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan mengapa kes berprofil tinggi seperti SRC International Sdn Bhd (SRC) melantik Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak mempunyai mempunyai pengalaman dalam perbicaraan kes jenayah untuk menghakimi kes itu.

Beliau yang mengetuai kes rayuan SRC berkata, ia adalah perbicaraan yang cukup penting pada abad ini dengan seluruh dunia memerhati perjalanan perbicaraan itu.

“Saya hendak tanya mengapakah pada saat-saat akhir melantik Mohd Nazlan yang tidak mempunyai pengalaman dalam perbicaraan jenayah untuk mendengar kes ini?

“Ini adalah perbicaraan cukup penting pada abad ini, satu dunia sedang memerhati tetapi kita saksikan pula bagaimana seseorang seperti Datuk Mohd Soffian Abdul Razak yang pada awalnya menjadi hakim akhirnya digantikan dengan Mohd Nazlan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan barisan tiga hakim yang terdiri daripada Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, bekas Perdana Menteri itu mendapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang berkait RM42 juta milik SRC dan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan diarah membayar denda sebanyak RM210 juta.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 19 Oktober tahun lalu, Najib mengemukakan 307 alasan bagi menyokong rayuan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mendapatinya bersalah dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC.

Antara alasan yang dikemukakan, hakim bicara terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah dalang sebenar dalam kes yang dihadapinya.

KNajib bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Menurut Muhammad Shafee, Mohd Soffian mempunyai pengalaman luas dalam kes-kes jenayah.

“Hakim ini (Mohd Nazlan) boleh melakukan kesilapan dalam kes ini.

“Kita ada bertanyakan kepada Hakim Besar Malaya namun jawapan yang kita terima ianya adalah pemindahan rutin biasa,” ujarnya.

Sebelum ini, Mohd Sofian menjalankan pengurusan kes SRC namun beliau digantikan dengan Mohd Nazlan yang mengendalikan kes komersial di Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee kemudian memberikan beberapa contoh kes jenayah berprofil tinggi melibatkan nama-nama besar seperti bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris; bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Muhammad Shafee, beliau yang berpengalaman sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan peguam selama lebih 40 tahun dalam kes-kes jenayah yang rumit mendapati ia akan didengari oleh hakim-hakim berpengalaman.

“Saya beri contoh kes seperti Datuk Harun Idris, bekas hakim berpengalaman Eusoffee Abdoolcadeer mengetuai kes tersebut, kes Datuk Mokhtar Hashim yang didakwa membunuh, hakim kanan Tan Sri Hashim Yeop Sani.

“Juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hakim kanan, Tan Sri Augustine Paul dibawa untuk mengetuai kes penyalahgunaan kuasa manakala untuk kes liwat pula bawa masuk Datuk Arifin Jaka.

“Sememangnya perlu adanya hakim jenayah yang berpengalaman untuk mengetuai kes ini dan Mohd Nazlan tidak mempunyai pengalaman tersebut,” jelasnya.

Muhammad Shafee berkata, dalam perbicaraan kes jenayah, mahkamah sepatutnya percaya akan kata-kata tertuduh sungguhpun berasa sangsi, terutama apabila kebebasan asasi menghadapi risiko akan tergugat.

“Ketika Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri pada 11 November 2019 dengan berkata pendakwaan dapat membuktikan prima facie.

“Tapi selepas dapati Najib bersalah, Mohd Nazlan memasukkan sebab-sebab lain mengapa Najib diperintah membela diri, ini prejudis terhadap tertuduh,” tambah beliau.

Prosiding akan bersambung esok. – MalaysiaGazette