Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melihat lakaran Tapak Projek Glamping@Wetland Putrajaya di Perbadanan Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 APRIL 2021

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) membuka peluang kepada syarikat-syarikat swasta untuk membangunkan fasiliti sedia ada dalam usaha mentransformasi pusat pentadbiran negara itu menjadi sebuah bandar rekreasi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan rancangan untuk meningkatkan kualiti produk pelancongan masa hadapan di bandar itu juga sedang dalam perancangan.

“Kita mengundang dan menggalakkan penyertaan pihak swasta sama ada menggunakan fasiliti sedia ada kemudian diberi nilai tambah dengan pendekatan komersial atau juga membangunkan produk pelancongan yang baru.

“Sebagai contoh, kita akan mengizinkan pihak swasta menggunakan Wetland Putrajaya untuk diberikan nilai tambah supaya ia menjadi lebih komersial sifatnya dan diuruskan secara komersial namun bukan menukar sifat semula jadi tempat tersebut.

“Ia supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung kalau pergi ke Wetland bukan sahaja lakukan day visit tetapi kita akan memperkenalkan konsep glamping at Wetland di mana mereka boleh tinggal di situ over the wekeend.

“Namun konsep yang digunakan tidak boleh bercanggah dengan persekitaran dan karakter Wetland itu sendiri selain membolehkan pengunjung mencuba pelbagai aktiviti sedia ada di keseluruhan kawasan itu,” katanya dalam satu sidang media di PPj hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Wetland Putrajaya menawarkan pelbagai aktiviti antaranya memancing, tasik flamingo, padang bola dan kawasan persinggahan pelbagai jenis burung namun kesemua kemudahan itu tidak digunakan dengan sebaiknya.

Justeru katanya, syarikat swasta yang akan terlibat menyediakan perkhidmatan Glamping @ Wetland tidak perlu mengeluarkan modal yang besar kerana segala fasiliti sudah tersedia dan hanya perlu diberikan nilai tambah serta merancakkan promosi.

“Keperluan asas semua ada, cuma tambah nilai sahaja. Jika glamping masuk ia boleh terus boleh beroperasi kerana aktiviti di sini sudah ada cuma ia dalam keadaan sangat pasif.

“Keluasan Wetland sekitar 500 ekar dan mungkin glamping akan gunakan kira-kira lima hingga tujuh ekar ‘depends on the concept’. Kesemua fasiliti sedia ada di kawasan Wetland itu boleh digunakan dan itu merupakan ‘selling point’ utama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, PPj juga telah mengenal pasti sebuah kawasan seluas 160 ekar untuk dibangunkan sebagai sebuah pusat berintegrasi.

“Kita turut mempertimbangkan penyertaan daripada sektor swasta untuk membenarkan pembukaan dan pembinaan taman safari yang bersifat antarabangsa.

“Sudah tentu ia merupakan sebuah projek yang melibatkan pelaburan yang sangat besar, bukan kepada taman safari itu sahaja tetapi juga pembinaan kereta kabel untuk pemandangan dari udara, calet serta motel dan juga factory outlet sebagai satu pusat yang integrasi.

“Setakat ini, sudah ada beberapa pembida, kita masih buka lagi jika ada pihak swasta yang ingin membawa idea mereka, boleh buat pembentangan awal dan mengemukakan konsep kerana kita merasakan taman safari antarabangsa ini adalah satu daripada tarikan yang besar yang boleh kita bina di Putrajaya,” jelasnya. – MalaysiaGazette