Universiti melihat bahawa amalan biasa pelantikan pentadbir staf akademik wajar diteliti semula kerana dibimbangi bahawa staf akademik lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran berbanding kerja hakiki yang biasanya disebut dengan 7P.-Gambar hiasan.

DALAM satu program retreat bersama ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mantan Pengerusi LPU UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali menanggapi bakat sebagai faktor kritikal dalam memastikan kelangsungan
dan kejayaan sesebuah organisasi.

Sebagai mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), pandangan Tan Sri Abdul Halim Ali penting diberikan pemberatan yang tinggi lantas kedudukan selaku bekas KSN yang sudah dapat melihat aset terpenting yang harus ada dalam sesebuah organisasi.

Bakat boleh dirujuk sebagai seseorang insan yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan bagi sesebuah organisasi dalam mencapai matlamat kewujudan sesebuah entiti.

Dalam konteks pendidikan tinggi, bakat yang biasanya dirujuk ialah bakat staf akademik dan bakat staf bukan akademik. Meskipun diketahui skop kerja bagi dua kategori pekerja ini berbeza, namun hakikatnya, kedua-duanya penting dalam
membawa kejayaan bermakna kepada universiti.

Staf akademik, khususnya di universiti penyelidikan majoritinya mempunyai kelulusan ijazah doktor falsafah atau PhD. Kelulusan akademik tertinggi ini iaitu PhD melayakkan staf akademik melaksanakan penyelidikan bagi menemui atau mencipta
ilmu baru bagi sesuatu bidang pengkhususan.

Bagi staf bukan akademik pula, mereka terdiri daripada pelbagai kategori, iaitu kategori pegawai yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda (sekurang-kurangnya) dan staf dalam kategori sokongan atau pelaksana.

Umumnya, sesebuah universiti lazimnya mempunyai bilangan staf bukan akademik melebihi staf akademik. Ini munasabah kerana universiti memerlukan staf yang mencukupi untuk tujuan urustadbir.

Selama ini, banyak universiti di Malaysia mengamalkan pelantikan pentadbir akademik iaitu ahli akademik yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi atau entiti dalam universiti seperti pengarah bahagian atau pengarah unit.

Bergerak ke hadapan, proses rasionalisasi pelantikan pentadbir akademik wajar dibuat kerana sebahagian jawatan pentadbiran dalam universiti sebenarnya boleh diserahkan kepada staf bukan akademik.

Rasional yang ada ialah ahli akademik harus memberi lebih tumpuan kepada aspek kerja hakiki iaitu pengajaran, penyelidikan, penulisan, perundingan dan pengkomersialan, perkhidmatan kepada watan, penyeliaan, dan perkhidmatan
profesional (seperti membuat polisi negara dan keanggotaan badan profesional) atau kerja 7P.

Dengan rasionalisasi amalan pelantikan pentadbir akademik, lebih ramai staf bukan akademik boleh diberikan peluang dan ruang menjadi pengarah atau timbalan pengarah bahagian, unit, atau entiti dalam universiti.

Untuk melaksanakan transformasi sebegini, proses merekrut staf bukan akademik yang berkebolehan harus dijalankan. Pada masa ini, semakin bertambah bilangan staf bukan akademik yang memiliki ijazah Sarjana (Master) dan bahkan PhD.

Universiti tidak harus memandang rendah keupayaan staf bukan akademik kerana mereka mungkin selama ini kurang diberikan ruang dan peluang untuk beraksi membuktikan kemampuan sebenar mereka mengurustadbir universiti.

Apatah lagi jika staf bukan akademik ini mendapat pendedahan secara langsung atau tidak langsung dengan pentadbiran peringkat pengarah atau timbalan pengarah bahagian atau entiti melalui pergaulan atau sosialisasi dengan pentadbir akademik.

UTM telah memulakan langkah rasionalisasi pelantikan pentadbir akademik dengan melantik beberapa staf bukan akademik menjadi pengarah dan timbalan pengarah bahagian atau unit.

Sebagai contoh, jawatan Pengarah Kerja UTM kini disandang seorang staf bukan akademik, yang sebelumnya jawatan ini dipegang oleh staf akademik. Lebih ramai juga staf bukan akademik dilantik ke jawatan peringkat Timbalan Pengarah bahagian atau unit bagi merealisasikan hasrat transformasi bakat.

Universiti melihat bahawa amalan biasa pelantikan pentadbir staf akademik wajar diteliti semula kerana dibimbangi bahawa staf akademik lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran berbanding kerja hakiki yang biasanya disebut dengan 7P.
Jika ini berlaku, universiti mengalami kerugian bakat kerana sepatutnya staf akademik menumpukan kepada skop kerja 7P.

Dengan rasionalisasi pelantikan sebegini, universiti boleh memaksimumkan bakat staf akademik dan staf bukan akademik pada tahap terbaik.

Namun begitu, penting juga untuk diketahui bahawa sinergi staf akademik dan bukan akademik juga diperlukan bagi menjayakan transformasi bakat ini.

Sinergi ini termasuklah pembelajaran bagi staf yang dilantik iaitu dengan bimbingan daripada mantan pentadbir sebelumnya dan juga sinergi melibatkan cara fikir yang lebih komprehensif antara dua kategori pekerja ini.

Kita tidak mahukan staf akademik dan bukan akademik membuat kerja sendirian atau in-silo kerana amalan ini tidak membantu membawa transformasi dan kejayaan kepada universiti.

Satu cabaran yang perlu ditangani ialah soal worldview atau pandangan alam.

Dijangka bahawa staf bukan akademik dan staf akademik memiliki pandangan alam yang agak berbeza meskipun bekerja bawah satu bumbung yang sama. Ini berlaku kerana selama ini masing-masing berada dalam skop kerja yang agak berbeza.

Bergerak ke hadapan, universiti harus memastikan tiada bakat yang disia-siakan atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan universiti.

Penting sekali sinergi erat antara staf akademik dan bukan akademik agar maksud transformasi bakat dicapai dengan jayanya demi kelangsungan sektor pendidikan tinggi.

Kini masa terbaik menggembleng seluruh bakat yang ada ke arah kegemilangan sektor pendidikan tinggi di Malaysia dan menyerlahkan citra sebuah universiti yang berjaya membentuk ketumbukan ampuh bagi menempuh cabaran dalam dekad
baru, 2021-2030.

Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) &

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin
Pensyarah Kanan UTM

1 Komen

  1. PASTIKAN setiap staf akdemik dan staf bukan akedmik Melayu wajib menghafal dua Firman
    FIRMAN
    اللَّه سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَى
    iaitu:
    وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّه جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّه عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّه لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
    Yang maksudnya:
    “Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali-tali اللَّه (syariat اللَّه / agama Islam / Al Quran dan Sunnah) dan janganlah kamu semua berpecah-belah (Iaitu berpecah-belah dari beriman dan dari syariat-Nya). Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali اللَّه (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat اللَّه kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu اللَّه menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat اللَّه itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu اللَّه selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah اللَّه menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.”. [Surah Aal-i-Imran, 3: 103.].

    dan

    وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُ ۥ شَيۡطَـٰنً۬ا فَهُوَ لَهُ ۥ قَرِينٌ۬ (٣٦)
    Yang maksudnya:
    “Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh اللَّه) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”. [Surah Al-Zukhruf, 43 : 36.].
    [Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN kepada Pengertian Al-Qur’an, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1995, Cetakan ke-6, hal. 1307-1308].

    dan diwajibkan menghafal dua al-hadis ini, iaitu:
    Rasulullah ﷺ bersabda yang maksudnya:
    “Seberat-berat agama ialah memelihara amanah, sesungguhnya tidak beragama seseorang yang tidak menjaga amanah, bahkan tidak diterima sholat dan zakatnya.” . [Hadis Riwayat Al-Bazaar].

    لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ، وَلاَ اللَّعَّانِ، وَلاَ الْفَاحِشِ وَلاَ الْبَذِيءِ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ.
    Ertinya: “Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencela, suka melaknat dan yang keji (samada perkataannya atau perbuatannya) dan yang kotor mulutnya (sekalipun perkataanya itu benar)”. [Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan gharib dan al-Albani menganggapnya sohih.]
    .

Comments are closed.