Pelajar-pelajar Tingkatan 1 tajaan Yayasan Selangor yang sedang menunggu giliran untuk didaftarkan.

KUALA LUMPUR – Seramai 350 orang pelajar Tingkatan Satu di Selangor menerima tawaran untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor bagi mengikuti Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) untuk sesi persekolahan tahun 2021.

Ia merupakan program yang julung-julung kali diperkenalkan oleh Yayasan Selangor menerusi pengambilan dalam talian.

Sejumlah 1,314 permohonan telah diterima daripada murid-murid Tahun Enam yang bersekolah di Selangor untuk mengikuti Program RKPYS yang dibuka pada 1 Disember 2020.

Program ini telah wujud sejak tahun 1971 dan mensasarkan murid berpotensi daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Syarat dan terma yang diguna pakai merangkumi syarat akademik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dasar RKPYS yang ditetapkan oleh Yayasan Selangor.

Murid-murid yang ditawarkan ke program itu akan mendapat keistimewaan seperti kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri.

Sebahagian daripada 350 pelajar yang mendapat tajaan Yayasan Selangor.

Malah, Yayasan Selangor komited dengan melantik seorang guru penyelaras bagi memantau pencapaian murid di setiap sekolah tajaannya.

Daripada 350 murid yang ditawarkan ke program ini, seramai 91 orang ditempatkan di asrama pusat, manakala 251 orang ditempatkan di asrama daerah dan baki lapan orang menerima tawaran di sekolah harian (tanpa asrama).

Walaupun proses pemilihan dan penempatan telah selesai pada 12 Disember 2020, namun sesi persekolahan secara bersemuka hanya dibuat pada 5 April 2021 bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikutan keadaan semasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pihak KPM telah mengeluarkan arahan bahawa murid telah dibenarkan untuk meneruskan pendaftaran di asrama sebelum sesi persekolahan dibuka semalam.

Pendaftaran murid di asrama pusat Yayasan Selangor iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam dijalankan pada 2 dan 4 April lalu. – MalaysiaGazette