Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh digesa agar tidak membuat dakwaan dan menipu rakyat dalam isu tapak Taman Rimba Kiara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, rancangan pembangunan di tapak tersebut sememangnya dikhususkan untuk perumahan bagaimanapun lot taman rimba yang lain tidak terjejas sama sekali.

Malah Zaizalnizam menambah, ia dilakukan dengan banyak penambahbaikan terutama sekali dalam soal kepadatan penduduk.

“Lot ini telah selama 40 tahun menjadi perumahan untuk komuniti India, lot lain taman rimba itu tidak diusik pun walaupun seinci dan saya berharap Hannah tidak terus menipu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaizalnizam mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut itu yang memuatnaik status di akaun Facebook rasminya yang mempersoalkan laporan media mengenai rancangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menanam sejuta pokok di kawasan itu pada tahun ini.

Bekas timbalan menteri dari Pakatan Harapan (PH) itu pada Ahad lalu menulis; “But he wants to develop Taman Rimba Kiara by appealing the court decision in favour of residents?!” yang merujuk laporan berita mengenai hasrat Annuar itu.

Menurut Zaizalnizam, mengapa PH menerusi menterinya sebelum ini tetap meneruskan projek berkenaan sekiranya dakwaan menjejaskan alam sekitar adalah benar.

“Ternyata ini semua hanya mainan politik wakil rakyat DAP kerana ada satu lagi pembangunan di kawasan bersebelahan dan kenapa DAP tidak bising pula mengenainya,” katanya lagi.

KYP dalam pada itu memnberikan jaminan projek itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan tidak akan menyebabkan kesesakan kepada penduduk sekitar.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.

Panel tiga hakim membabitkan Datuk Mary Lim Thiam Suan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan, membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DBKL fokus 7 tasik jayakan kempen tanam pokok 100 juta