Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berucap pada Majlis Perasmian “Future Hospital Strategy and Development Forum” di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kewujudan kluster pendidikan berlaku sejak sesi persekolahan dibuka secara berfasa pada Mac lalu apabila ada guru yang telah dijangkiti Covid-19 dalam komuniti di luar sekolah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia mencetuskan kebimbangan kerajaan dalam mengawal masalah itu rentetan sektor pendidikan kini sudah beroperasi sepenuhnya termasuk sesi sekolah menengah bermula semalam.

Pihaknya bimbang sebarang ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan dalam komuniti boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kebimbangan kita sekarang sekiranya SOP tak dipatuhi di dalam komuniti, contoh di Shah Alam, sebuah sekolah Tamil merekodkan kes positif Covid-19 melibatkan seorang guru.

“Kebanyakan kes sekolah ini datang dari komuniti maknanya guru dijangkiti di luar iaitu kes sporadik dalam komuniti dan dibawa ke sekolah.

“Sebab itu saya menekankan pemeriksaan suhu di sekolah yang mana sekiranya guru dan pelajar ada gejala, mereka perlu elak datang ke sekolah dan perlu diberi ruang dapatkan rawatan dan memulakan aktiviti pengesanan kontak rapat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Pembangunan dan Strategik Hospital Masa Hadapan 2021 di sini hari ini.

Menurut Dr. Adham, kebimbangan baharu yang wujud apabila beberapa kes Covid-19 dikesan di sekolah tidak dapat dipastikan kedudukan mereka atau lokasi yang dilawati mereka sebelum itu.

“Kita bimbang jika keadaan ini mengundang kepada penutupan sekolah, maka sesi persekolahan dan pembelajaran anak-anak akan terjejas dan itulah kita cuba elak daripada berlaku,” tegas beliau.- MalaysiaGazette