Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

BANGI – Resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-118 berhubung Ajaran Ibu Yati yang telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja Melayu masih belum dimuktamadkan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifili Mohamad Al-Bakri, pihaknya hanya boleh membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu setelah mendapat maklum balas rasmi daripada Majlis Raja-Raja.

Namun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam muzakarah itu berpandangan ajaran itu sememangnya bertentangan dengan fahaman sebenar Islam.

“Daripada segi umumnya, memang pandangan muzakarah kita memang dia (ajaran Ibu Yati) tidak bersamaan dengan fahaman sebenar yang perlu diberi perhatian.

“Tetapi kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas kita dapat daripada Majlis Raja-Raja,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Melestari budaya prihatin dalam menyampaikan perkhidmatan hal ehwal Islam pasca Covid-19 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Dr Zulkifli berkata, JAKIM telah mengembahkan resolusi muzakarah itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Resolusi itu, menurutnya, dihasilkan selepas mesyuarat mendengar pembentangan laporan mengenai fahaman terbabit oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 17 Februari lalu.

Untuk rekod, ajaran Ibu Yati melibatkan bekas wartawan media arus perdana, Wan Norhayati Wan Alias.

Fahaman itu menjadi viral apabila tersebar rakaman video yang memaparkan beliau melafazkan “iLa Ha iLa Ra iLa Ma” dan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

JAIS telah mengesahkan telah memanggil Ibu Yati bagi membantu siasatan berhubung fahaman Islam Melayu pada 3 Februari lalu.

Sebelum ini, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa oleh individu yang dikenali sebagai Ibu Yati. – MalaysiaGazette