M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warganegara India yang dikerah bekerja selama 16 jam sehari dan tanpa cuti diselamatkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), semalam.

Bertindak atas maklumat yang diterima dalam bentuk kiriman video, KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang datang ke premis yang terletak di pekan Raub, Pahang semalam untuk membawa keluar pekerja terbabit.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, beberapa kesalahan melibatkan majikan, pekerja sendiri dan juga ejen yang didakwa membawa masuk pekerja terbabit telah dikenalpasti.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pekerja ini dijanjikan permit bekerja selepas ejen membawa beliau masuk ke Malaysia pada tahun 2019 dengan pas lawatan sementara.

Bagaimanapun, urusan permohonan permit tertangguh atas alasan negara berdepan wabak Covid-19 menyebabkan pekerja tersebut bekerja tanpa permit yang sah.

Majikan pula mengambil kesempatan menggajikannya dengan bayaran RM1,500 sebulan dan membuat potongan yang tidak perlu.

Antaranya termasuklah potongan sewa bilik dan potongan elaun makan, yang mana potongan ini perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak JTK.

Menurut beliau, jumlah baki gaji pekerja sepatutnya RM800 selepas potongan, namun majikan hanya
membayar RM500 setiap bulan.

”Pekerja terbabit dikerah untuk bekerja selama 16 jam berbanding tempoh yang dibenarkan iaitu 12 jam dan tidak diberikan cuti rehat.

”Pekerja ini juga tidak dibayar gaji selama lebih tujuh bulan sehingga menyebabkan mangsa mengambil
tindakan membuat aduan menerusi rakaman video dan menyerahkannya kepada KSM,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, JTKSM telah berbincang dengan pihak majikan untuk mendapatkan baki tunggak gaji sebanyak RM6,000 yang dibayar secara tunai pada hari yang sama.

Pekerja berkenaan kemudian dibawa dan diserahkan kepada pihak Kedutaan India di Kuala Lumpur untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

Urusan penghantaran ini dilakukan sepenuhnya oleh Kedutaan India dan pekerja terbabit akan dihantar pulang dalam tempoh masa seminggu selepas proses dokumentasi selesai.

Dalam kenyataan itu, Saravanan menegaskan, kementeriannya tidak akan sesekali berkompromi
dalam isu melibatkan salah guna tenaga kerja dan penganiayaan terhadap pekerja tidak kira pekerja tempatan mahupun pekerja asing. – MalaysiaGazette