Peguam, Zulhazmi Shariff (kiri) bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media mengenai seorang pemandu teksi yang ditahan polis bawah Akta Sosma di Pusat Perniagaan World Wide, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kecewa dengan tindakan polis Balai Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor yang menahan seorang pemandu teksi tanpa memaklumkan kepada keluarga sehingga beberapa hari.

Katanya, keluarga terbabit seperti hilang arah apabila mendapati pemandu teksi, Mohd Saiful Mohd Zain, 38, yang keluar pada 25 Mac lalu tidak pulang ke rumah selepas dikatakan mengambil penumpang pada jam 2.45 pagi di kawasan Kuala Selangor.

“Keluarga risau dan bimbang apabila Mohd Saiful tidak pulang selama tiga empat hari dan mereka berusaha mencarinya di merata tempat sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, pada hari kelima iaitu 29 Mac, keluarga itu dimaklumkan oleh warisnya yang juga anggota polis bahawa Mohd Saiful ada di lokap IPD Kuala Selangor ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Namun begitu, apabila keluarga pergi ke IPD Kuala Selangor, mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan Mohd Saiful termasuklah hendak menggunakan khidmat peguam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Khalid, pemandu teksi itu merupakan anak tempatan Shah Alam dan mempunyai empat anak termasuk seorang daripadanya Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 10 tahun.

Katanya, Mohd Saiful juga mempunyai seorang isteri yang kini dalam keadaan trauma dan sugul selepas mendapat tahu suaminya ditahan di bawah SOSMA tetapi disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu berkata, setakat beliau tidak tahu secara terperinci berhubung penahanan Mohd Saiful dan hanya mengetahui OKT ditahan di IPD Kuala Selangor.

“Saya telah melantik peguam, Mohd Zulhazmi Shariff dan menyerahkan kepadanya untuk mewakili Mohd Saiful selain usaha ini dapat menenangkan keluarga OKT yang kini dalam kerisauan.

“SOSMA merupakan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan telah dipertahankan penggunaannya atas alasan keperluan undang-undang yang sebegini rupa untuk menangani masalah jenayah, iaitu gangsterisme, terrorisme dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohd Zuhazmi berkata, pada Jumaat lalu, beliau menghubungi IPD Kuala Selangor dan dapat bercakap dengan pegawai polis yang menjaga OKT.

Katanya, beliau cuba mengatur temujanji untuk bertemu dengan pegawai penyiasat dan anak guamnya tetapi tidak diberikan makluman tarikh untuk mengadakan perjumpaan.

“Pagi tadi, saya hubungi sekali lagi IPD Kuala Selangor dan dimaklumkan saya dibenarkan untuk berjumpa. Tengok esok (Rabu) atau lusa (Khamis) saya akan berjumpa dengan OKT selepas berurusan dengan keluarganya dahulu.

“Cuma persoalan saya dalam kes ini, OKT ditahan pada 25 Mac 2021 jam 2.45 pagi dan dalam apa kes sekali pun, prosedur biasa pihak berkuasa mesti memaklumkan kepada keluarga OKT.

“Kami dimaklumkan keluarga tidak diberitahu pun OKT ditahan dan keluarga terpaksa mencari sendiri sehingga hendak membuat laporan polis mengenai kehilangannya,” katanya.

Jelas Mohd Zulhazmi, sehingga kini, beliau belum mendapat maklumat lengkap selagi tidak berjumpa dengan OKT sendiri. – MalaysiaGazette