Zlatan Ibrahimovic memulakan perbincangan menyambung kontrak bersama AC Milan hari ini.

ROM – Penyerang sensasi AC Milan, Zlatan Ibrahimovic terlibat dalam proses penyambungan kontrak beliau bersama kelab Serie A itu.

Bintang berusia 39 tahun itu akan tamat kontrak pada Jun tahun ini.

Sejak menyertai kelab itu, bekas pemain Manchester United itu berjaya menjaringkan 15 gol musim ini untuk kelab yang menduduki tempat kedua dalam carta Serie A.

Proses perbincangan mengenai penyambungan kontraknya dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan kedua-dua pihak dijangka mencapai satu keputusan terbaik.

Namun tiada sebarang tarikh muktamad dimaklumkan mengenai bila pemain itu akan menandatangani kontrak baharu nanti.

Bekas pemain Paris Saint Germain itu juga telah kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan Sweden dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 selepas lima bulan bersara di peringkat antarabangsa.-MalaysiaGazette