Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berucap pada Majlis Perasmian My.Halal.TV sempena 2022 Tahun Kesedaran Halal di Damansara Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Jabatan Penerangan (JaPen) akan menggerakkan sebuah yayasan khusus untuk menangkis serangan pihak luar yang memburuk-burukkan industri kelapa sawit dan getah negara.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, negara-negara Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja mengenakan sekatan terhadap import produk sawit malah turut menyebarkan pelbagai dakyah yang tidak benar mengenai industri berkenaan.

“Di antara program JaPen nak bantu kerajaan kita nak terang balik jika ada serangan-serangan dari luar negara tentang dasar dan juga ekonomi Malaysia, jadi sekarang ini kita lihat European Union (EU) dan juga AS mereka memburukkan sawit kita.

“Mereka mengenakan sekatan di antaranya EU kata kita ini tidak mengimbangi oksigen dan karbon dioksida, menjalankan penebangan hutan dan menganiaya binatang.

“Justeru kita kena terangkan semula kepada mereka bahawa perkara itu adalah tipu dan tidak betul. Begitu juga dengan AS mereka menyekat sawit kita dengan mengatakan sawit kita ini menganiaya pekerja asing dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program My Halal TV di Damansara Jaya hari ini.

Tambah Zahidi, yayasan yang bakal diwujudkan itu akan memfokuskan kebaikan industri sawit dan getah untuk dipromosi di luar negara.

Katanya lagi, usaha-usaha untuk menyebarkan maklumat yang sahih sememangnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab jabatan di bawah kementerian tersebut.

“Kita sedang berusaha untuk mewujudkan yayasan bagi mempromosi sawit dan getah untuk meningkatkan industri tersebut.

“Jadi antara usaha kita akan buat video pendek yang berkaitan untuk terangkan semula di luar negara mengikut bahasa mereka.

“Misalnya dalam bahasa Finland dan Sweden berkaitan video sawit ini misalnya baja tak pakai bahan kimia serta dari segi tanaman lebih baik. Jadi kita nak tunjuk kat dunia luar ini macam mana pokok sawit dan sebagainya itu sebab kita buat yayasan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette