Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain bersama pegawai MUIP menunjukkan replika cek agihan bantuan kepada masjid dan golongan asnaf Pahang di Pekan, Pahang hari ini.

PEKAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntuk sebanyak RM10 juta bagi diagihkan kepada masjid, golongan asnaf dan mualaf pada bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.7 juta diagihkan dalam bentuk bantuan kepada 11,151 asnaf daripada golongan fakir dan miskin.

Manakala sejumlah RM3.5 juta lagi diagihkan kepada semua 666 masjid dan surau di Pahang termasuk masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat, katanya.

“Bantuan sebanyak RM50,000 diberi kepada masjid negeri, 26 masjid daerah akan menerima RM260,000 manakala sebanyak 553 masjid kariah pula menerima RM2.765 juta serta 86 surau ada kebenaran solat Jumaat juga akan menerima RM430,000.

“Manakala bantuan menyambut Hari Raya sebanyak RM1.88 juta diagihkan kepada 10,501 mualaf di Pahang,” katanya pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Justeru, Ahmad Hairi berharap sumbangan yang diagihkan bagi membantu masjid dan surau serta penerima dapat mengimarahkan sambutan bulan Ramadan dan Syawal.

Tahun lalu, MUIP mengagihkan sebanyak RM9.9 juta melibatkan 632 masjid dan surau, RM4.9 juta disumbangkan kepada fakir miskin dan 9,213 pula kepada golongan mualaf sempena bantuan hari raya.

Dalam pada itu, kadar zakat fitrah bagi Negeri Pahang pada tahun ini dikekalkan pada RM7 dan pembayar zakat digalakkan membayarnya melalui atas talian menerusi laman sesawang ezakat.muip.gov.my atau capaian aplikasi PahangGo.- MalaysiaGazette