Logo Jabatan Laut

KUALA LUMPUR – Satu pasukan penyiasat khas ditubuhkan  Jabatan Laut Wilayah Tengah bagi memulakan siasatan terhadap insiden kebocoran gas ammonia dalam Kapal MV Hamburg DW.

Semasa kejadian kapal itu sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Zhanjiang, China dari Pelabuhan Al Duqum, Oman malam tadi.

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pasukan itu akan menyiasat secara terperinci punca kebocoran gas ammonia di dalam kapal itu.

Pasukan penyiasat ini ditubuhkan susulan kejadian kebocoran gas itu mengikut Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan saudagar 1952 (MSO 1952) bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Kini kapal itu telah berlabuh di Barat Daya Pulau Selat Kering bagi tujuan penyaluran bantuan,” kata kenyataan yang sama.

Tambah Jabatan Laut, prosedur terkini bagi mengekang penularan Covid-19 seperti tertakluk dalam MSN 15/2020 dan MSN 1/2021 tetap dipatuhi sepanjang proses bantuan dan siasatan.

Dalam perkembangan sama, jabatan itu meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat kurang tepat mengenai kejadian kebocoran ammonia dari kapal tersebut.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku tengah malam tadi, seorang kru meninggal dunia manakala tiga lagi mengalami kecederaan akibat kebocoran gas di kapal dagang asing itu.- MalaysiaGazette