Noorzainy Mohd Noor.

BUTTERWORTH – Polis menahan seorang penganggur semalam kerana membuat laporan polis palsu yang mendakwa mendakwa dia menjadi mangsa samun di Taman Dedap di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penipuan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas keterangan yang diberi meragukan.

“Berdasarkan laporan awal, lelaki itu mendakwa dirinya disamun dua lelaki hingga mengalami kerugian RM2,400 serta kehilangan dokumen pengenalan diri.

“Bagaimanapun siasatan ke atasnya mendapati dia membuat laporan palsu dengan alasan tidak mempunyai duit untuk membayar denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad kali kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette