Saifullah Md Saad.

KUALA LUMPUR – Akibat sudah lama terlalu rindukan bola sepak, seorang peminat bola sepak tegar Selangor FC, Saifullah Md Saad sanggup menunggang motosikal sejauh 100 kilometer dari Tali Air Lapan, Sekinchan ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagi Saifullah, dia tidak kisah terpaksa menempuh perjalanan yang memakan masa satu jam 30 minit asalkan dapat menonton aksi Selangor menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC secara depan mata pada Selasa.

Selain itu, kekurangan liputan internet di kawasannya menjadikan dia nekad untuk turun ke Petaling Jaya sebaik mengetahui kebenaran yang diberikan untuk penonton masuk ke stadium.

“Sebelum ini saya tengok perlawanan di Youtube sahaja di tempat saya namun saya tidak puas tengok kerana liputan internet di tempat saya kurang memuaskan.

“Sebaik dapat tahu perlawanan Selangor dan Kedah sudah boleh dimasuki penonton, saya memang sudah tekad hendak datang walaupun harga tiket mahal dan terpaksa naik motor untuk datang ke sini.

“Hampir satu jam 30 minit saya menunggang motosikal datang ke sini tetapi itu tidak mengapa demi Selangor dan saya sedia untuk turun lagi pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Dekat setahun saya tidak datang ke stadium dan bila boleh tengok balik perlawanan di depan mata, rasa seronok yang sukar saya hendak digambarkan sebab dah lama sebenarnya tidak datang ke stadium,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini semalam.

Saifullah merupakan salah seorang daripada 1,300 penonton yang dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan Selangor FC berdepan KDA FC selepas penonton kembali dibenarkan ke stadium bagi perlawanan Liga Super serta Liga Premier yang berlangsung pada 6 dan 7 April ini.

Semua penyokong dibenarkan masuk bermula pukul 6.00 petang sebelum pintu ditutup bermula 8.30 malam selain perlu mematuhi beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan seperti tidak boleh ke tandas semasa rehat separuh masa.

Seorang lagi penyokong Selangor, Mohd Aizuddin Mohd Yatim, berharap semua peminat dapat kekalkan tahap disiplin yang sama bagi tiap perlawanan agar kebenaran yang diberikan tidak akan ditarik balik pada perlawanan akan datang.

“Rasa gembira kerana sudah boleh masuk stadium balik, maka harap penyokong-penyokong lain dapat terus mengikuti SOP kerana apa yang paling penting kita boleh tengok pasukan kesayangan kita bermain.

“Memang rasa pelik juga kerana periksa suhu di beberapa tempat dan kena buat imbasan di MySejahtera selain kena jaga jarak antara satu sama lain untuk masuk ke stadium.

“Sebelum ini kita tidak pernah buat kalau hendak ke stadium sebelum ini namun ini antara kebiasaan yang kita perlu lalui untuk masa sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette