Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,285 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini meningkat kepada 355,753 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 374 kes atau 29.1 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 292 kes atau 78.1 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 211 kes atau 16.4 peratus dan Pulau Pinang sebanyak 162 kes atau 12.6 peratus.

“Sebanyak 105 kes atau 8.2 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 89 kes, Kluster Tembok Sri Aman (enam kes) dan Kluster Pagar Bukit Chagar adalah empat kes.

“Klustrer lain adalah Kluster Tembok Taiping (dua kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (dua kes), Kluster Tembok Mempaga dan Kluster Tembok Tapah masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, terdapat empat kes kematian pada hari ini yang melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 186 kes di mana 81 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

“Sementara itu, kes sembuh yang direkodkan adalah 1,175 kes dengan jumlah 340,242 kes kumulatif atau 95.6 peratus.

“Jumlah kluster baharu pula adalah sebanyak empat empat kluster dan  jumlah kluster yang telah tamat hari ini 10 kluster,” katanya. – MalaysiaGazette