Prof. Dr. Patrick Kee Peng Kong, Naib Canselor MIU (kiri) dan Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB ketika majlis menandatangan MoU.

KUALA LUMPUR – Manipal International University (MIU) dan Lembaga Minyak
Sawit Malaysia (MPOB) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU)
yang bertujuan untuk melahirkan penyelidik yang menyumbang kepada kemajuan
industri sawit yang mampan di Malaysia dan peringkat global.

MIU adalah sebuah universiti di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada entiti di
bawah Manipal Global Education Services (MaGE).

Tujuan utama MoU ini adalah untuk membolehkan pelajar lepasan ijazah MIU dalam
bidang Bioteknologi melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit di MPOB.

Para pelajar akan berpeluang mendapatkan kepakaran dan kemudahan penyelidikan
di MPOB untuk melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit yang akan dipantau
bersama oleh MPOB dan MIU. Dalam konteks ini, MIU akan bekerjasama dengan
MPOB untuk melaksanakan penyelidikan dalam bidang bioteknologi dan berkaitan
sawit.

Penerbitan yang akan dihasilkan melalui kerjasama adalah penting bagi kedua-
dua pihak dan industri sawit.

Melalui MoU yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, penyelidik MPOB
akan diundang sebagai pensyarah jemputan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang
bioteknologi berkaitan sawit bersama dengan pelajar ijazah dan lepasan ijazah MIU.

Ini akan meningkatkan minat pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai industri sawit dan mendedahkan mereka kepada perkembangan teknologi terkini yang dibangunkan oleh MPOB.

MIU juga melancarkan program Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam
penyelidikan bioteknologi.

Program lepasan ijazah dalam bidang bioteknologi telah ditawarkan pada suku terakhir tahun 2020 dan merancang untuk mendaftarkan kumpulan pelajar lepasan ijazah pertamanya pada bulan April 2021.

Usaha sama dengan MPOB adalah penting bagi MIU kerana menyediakan peluang
kepada pelajar sarjana dan lepasan ijazah dalam bidang bioteknologi terhadap institusi
penyelidikan minyak sawit terkemuka di dunia sekali gus membantu para pelajarnya
mengenai industri sawit mampan di Malaysia.

MPOB adalah institusi penyelidikan terkenal dan berprestij di dunia dalam penyelidikan,
pembangunan dan inovasi sawit, serta pengkomersilan bahan tanaman sawit dan
produk hiliran. Sebagai institusi yang membangun dan memajukan industri sawit sejak
tahun 2000, MPOB terus menerajui penyelidikan sawit.

MIU yang ditubuhkan pada tahun 2010, terus berkembang dalam pendidikan dan
penyelidikan serta memperolehi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi
Malaysia (SETARA) bertaraf Lima Bintang dalam kategori universiti baharu daripada
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun 2020. – MalaysiaGazette