Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Pas masih menaruh harapan agar Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO yang berusia lebih setahun kekal kukuh.

Ini dinyatakan oleh Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang menjelaskan, muafakat itu jelas menggembirakan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Meluahkan hasrat itu menerusi Facebooknya, hari ini, Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia itu berkata, beliau bersyukur dengan komitmen kedua-dua parti untuk memantapkan kerjasama dalam MN.

“Alhamdulillah, Mesyuarat Muafakat Nasional Pusat antara UMNO dan Pas malam tadi berlangsung dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memantapkan kerjasama.

“Permuafakatan ini menggembirakan rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.

Hubungan UMNO dan Pas menjadi tanda tanya susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu memuktamadkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) akan terhenti sebaik Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, Pas tetap kekal dengan agenda penyatuan ummah dan masih berharap dapat menjadi jambatan hubungan antara UMNO dan Bersatu.

Kata Ahmad Amzad, Pas tetap dengan pendiriannya untuk kekal secara rasmi sebagai parti komponen PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. – MalaysiaGazette