KUALA LUMPUR – Pegangan asing bon kerajaan Malaysia iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) meningkat sebanyak RM4.4 bilion kepada RM215 bilion atau 25 peratus pada Mac – yang tertinggi sejak April 2018.

Pegangan MGS pelabur asing meningkat RM1.5 bilion kepada RM184.6 bilion, bersamaan dengan 40.8 peratus daripada jumlah MGS.

Sementara itu, pegangan asing GII berjumlah RM30.7 bilion, bersamaan dengan lapan peratus daripada jumlah GII pada Mac, kata UOB Global Economics and Market Research.

“Aliran masuk bon kukuh berbanding penjualan hutang pasaran sedang pesat membangun pada Mac di tengah-tengah pengukuhan keluk hasil.

“Memandangkan kadar dasar diunjur kekal tidak berubah bagi 2021 dan bank-bank pusat utama dijangka meneruskan pembelian bon bagi melancarkan laluan hasil, kami merasakan aliran asing ke pasaran bon Malaysia akan terus disokong,” katanya dalam laporan Flash Note hari ini.

Keputusan FTSE Russell untuk mengeluarkan Malaysia daripada senarai pemerhatiannya dan mengekalkan negara dalam Indeks Bon Kerajaan Dunianya (WGBI) telah menghapuskan risiko utama dan yang seterusnya perlu diperhatikan ialah kajian semula penarafan kerajaan Malaysia oleh Standard & Poors pada Jun, kata firma penyelidikan itu.

Bagi ekuiti Malaysia, ia berkata pelabur asing terus mengurangkan pegangan ekuiti mereka pada Mac – walaupun dalam jumlah yang agak kurang sebanyak RM0.1 bilion berbanding RM0.8 bilion dan RM0.9 bilion masing-masing pada Januari dan Februari.

Pada Suku Pertama 2021 (S1 2021), pelabur asing menjual RM1.8 bilion ekuiti tempatan berbanding RM2.3 bilion pada Suku Keempat 2020.

“Ini merupakan jualan berterusan selama 21 bulan; penurunan kumulatif sebanyak RM33 bilion sejak Julai 2019.

“Pemilikan asing ekuiti Malaysia berkurangan ke paras rendah baharu sebanyak 20.3 peratus daripada jumlah permodalan pasaran pada Mac,” katanya.

Mengenai rizab asing, UOB berkata rizab asing Bank Negara Malaysia (BNM) susut sebanyak US$0.4 bilion bulan ke bulan kepada US$108.6 bilion pada akhir Mac (Februari 2021: +US$0.3 bilion kepada US$109 bilion).

“Bagaimanapun, rizab asing masih lagi tinggi sebanyak US$1.0 bilion setakat tahun ini berbanding US$107.6 bilion pada akhir 2020, disokong oleh aliran masuk portfolio asing berterusan ke pasaran bon dan lebihan akaun semasa yang kukuh,” katanya.

Menurutnya, paras rizab terbaharu BNM mencukupi untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan merupakan 1.2 kali daripada jumlah hutang luar jangka pendek. – MalaysiaGazette