ACP Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor cedera di bahagian kepala dan pinggang apabila seorang penunggang motosikal merempuh beliau yang sedang bertugas pada operasi trafik di Tol Templer arah barat Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Latar).

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 12.20 tengahari itu, suspek lelaki berusia 37 tahun itu melarikan diri sejauh tiga kilometer namun berjaya ditangkap oleh anggota bertugas.

“Pada jam lebih kurang jam 1220 semasa membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis yamaha RXZ telah merempuh mangsa menyebabkannya terjatuh dan mendapat kecederaan di bahagian kepala dan pinggang,” katanya dalam kenyataan

Katanya, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Selayang dimasukkan ke zon kuning untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut Arifai, pihaknya mendapati suspek tidak mempunyai lesan dan cukai jalan motosikal yang ditunggangnya telah tamat tempoh.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan reman akan dipohon esok. – MalaysiaGazette