Zulkifly Ab Latif.

GERIK – Seorang petugas sambilan media cetak dilaporkan meninggal dunia ketika mendaki di kawasan Tasik Banding, Lenggong di sini hari ini.

Mangsa, Zulkifly Ab Latif,41, dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung.

Difahamkan mangsa merupakan wakil media yang mengikuti program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli Bersama Media ke Negeri Perak kelolaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Saiful Ammar Ismail berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.37 tengah hari.

“Kita terima panggilan mohon bantuan turunkan mangsa tidak sedarkan diri selepas sesak nafas ketika mengikuti Program Eksplorasi Eko Pelancongan.

“Kita mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk membawa mangsa ke Jeti Banding sebelum dihantar ke hospital.

”Pihak bomba mengalami kesukaran memandang keadaan untuk sampai ke lokasi mangsa agak cerun,” katanya hari ini.

Tambah jurucakap itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette