Hashim Jasin
Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan audio rakaman perbualan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dipastikan kebenarannya.

Menurut Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin, dari sudut politik, jika audio itu benar, maka kerjasama di belakang tabir yang dijalinkan adalah hak masing-masing.

“Apa yang saya nampak kita belum pasti audio tersebut benar atau tidak. Jika betul, kita boleh faham ada usaha di sebalik apa yang berlaku melibatkan antara UMNO dan PKR

“Dari sudut politik pula, memang hak masing-masing, tetapi kita menzahirkan dukacita jika ianya benar.

“Namun, kita tidak berputus asa dan usaha berterusan dilakukan bagi penyatuan ummah. Jadi, UMNO perlu fikir semasaknya sebelum membuat keputusan bekerjasama dengan PKR,” katanya yang dipetik Harakahdaily sebagai berkata.

Beliau bagaimanapun, berharap audio rakaman yang tular di media sosial itu tidak betul.

Semalam, Ahmad Zahid dan Anwar menafikan audio perbualan itu dan masing-masing membuat laporan polis.

Sementara itu, Hashim memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan umat Islam, akan ditentangnya.

Beliau berkata, bagi Pas, Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan UMNO serta mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) adalah untuk menguatkan lagi perpaduan ummah.

“MN yang dijalin bertujuan untuk menguatkan lagi perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini. Begitu juga jalinan kerjasama dengan Bersatu.

“Kalau ada usaha dari pihak tertentu hendak memecah belahkan perpaduan umat Islam kita terpaksa menentang mereka,” katanya.

Menurut beliau, Pas secara jelas telah menolak kerjasama dengan PKR dan DAP, di samping mengharapkan masih ada masa untuk diperbetulkan matlamat MN dan perpaduan ummah itu sendiri. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Analisa dari PRU2 kecil yang lepas jelas menunjukkan sokongan akar umbi yang padu, tidak berbelah bahagi kepada MN. Ianya kunci kemenangan untuk sama2 mengemudi negara kearah yang lebih baik!

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.