Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Peguam bela yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak diminta untuk tidak mengulangi hujah sama yang disebut berkali-kali dalam prosiding rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd masuk hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menegur Harvinderjit Singh untuk lebih fokus hujahannya dalam memperincikan bagaimana Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam sabitan terhadap bekas perdana menteri itu.

“Boleh anda ringkaskan sahaja hujah-hujah inikKerana kebanyakan berulang. Banyak juga yang telah disentuh oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini.

“Tolong kaitkan apa yang anda hujahkan ini dengan sabitan pecah amanah terhadap Najib.

“Tunjukkan kepada kita mana salahnya hakim menyabitkan anak guam anda dengan kesalahan penyewelengan atau pecah amanah (CBT) di bawah Seksyen 403, 405 dan 409. Ingat, ini adalah Mahkamah Rayuan,” tegurnya.

Harvinderjit kemudian berkata, apa yang sedang dihujah olehnya masih penting namun Abdul Karim menyatakan semua itu pengulangan dan meminta peguam itu berhujah yang lain.

Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2019

Semalam dan hari ini peguam bela itu sedang fokus dengan sabitan kesalahan serta jatuh hukum terhadap kesalahan CBT.

Dalam pada itu, ketika berhujah, Harvinderjit berkata, pihak pendakwaan telah menonjolkan sikap ‘selektif’ ketika mendakwa Najib untuk kesalahan CBT.

Jelas Harvinderjit, ini kerana dakwaan itu hanya dikenakan ke atas Najib, walhal pada masa sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat individu lain untuk kesalahan tersebut.

Malah SPRM turut meminta bantuan Interpol telah mengeluarkan notis merah menangkap tiga individu lain iaitu bekas pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang individu lain.

Ketiga-tiga individu itu telah bertindak meninggalkan negara sejurus selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) 2018.

Hujah Harvinderjit, Md Suboh dan Nik Faisal  sebenarnya adalah  individu yang boleh menurunkan tandatangan untuk SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (syarikat dikaitkan dalam pemindahan dana SRC).

“Kemudian Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Perdana, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman yang diamanahkan untuk menjalankan program tanggungjawab korporat dan sosial (CSR) untuk SRC yang kemudiannya memindahkan wang itu ke akaun Najib.

“Najib tidak lakukan CBT itu tetapi orang lain kerana sebanyak RM50 juta telah dipindahkan,” ujarnya.

Namun kata hakim, pendakwa mempunyai sebab mengapa pendakwaan dilakukan ke atas individu tertentu menggunakan budi bicara mereka.

Prosiding rayuan berlangsung di hadapan dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lepas, Najib didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Prosiding bersambung dengan Harvinderjit mengemukakan hujah lain bagi mengelakkan pengulangan. -MalaysiaGazette