Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Perbincangan pengagihan kerusi antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat ini tidak melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jawatankuasa yang terdiri dari kepimpinan kedua pihak itu kini masih dalam peringkat perbincangan dan tidak ada tempoh ditentukan.

“Ya, sudah ada pimpinan kita (Pas) yang akan melaksanakan tugasan itu (perbincangan) dan saya serahkan kepada mereka (jawatankuasa).

“Mereka boleh mengadakan perjumpaan itu bila-bila masa dan saya tidak tahu berapa peratus sudah dicapai. Tapi perbincangan dengan parti Bersatu akan diteruskan,” katanya pada sidang media di Terengganu hari ini.

Ditanya, Pas Terengganu juga dikatakan menolak kerjasama dengan Bersatu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, akan melihat perkembangan selanjutnya, kerana UMNO juga masih tidak sekata.

Katanya, Pas masih lagi mengharapkan kepada penyatuan ummah yang melibatkan umat Islam dan masyarakat majmuk dapat diteruskan.

“Maksud saya, (merujuk) umat Islam ini ialah Muafakat Nasional (MN), yang bukan sahaja dengan UMNO, tetapi dengan Bersatu juga.

“Itu adalah prinsip kerjasama yang kita telah persetujui, tetapi jika ada pimpinan UMNO tidak mahu ikut, itu hak mereka. (Tapi) saya difahamkan bukan semua orang UMNO begitu (tak nak kerjasama dengan Bersatu).

“Matlamat Pas ialah nak menyatukan orang Melayu bukan saja UMNO, tetapi Melayu dalam NGO, individu dan semua pihak kita kena terima, kecuali yang ekstrem Melayu kita tak nak,” ujarnya.

Menjawab soalan wartawan adakah Pas masih berbincang dengan UMNO? Abdul Hadi berkata, ia tertakluk kepada UMNO untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dahulu.

Katanya, sebelum ini sudah ada jawatankuasa dibentuk selepas MN dimeterai, malangnya, UMNO rebah di tengah jalan.

“Sehingga kini rundingan pengagihan kerusi tidak dapat diteruskan kerana UMNO ada masalah, maka rundingan diteruskan dengan parti Bersatu dahulu

“Soal bila rundingan pengagihan kerusi selesai, tidak ada tempoh ditetapkan, kerana PRU tidak tahu bila,” katanya.

Beliau juga menyatakan, Pas setakat ini tidak tahu berapa kerusi dipertandingkan dan akan melihat keperluannya mengikut kemunasabahan nanti.

Abdul Hadi juga berkata, beliau sendiri tidak tahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang kerana keputusan itu bergantung kepada parti. – MalaysiaGazette