Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas tidak boleh terima jajaran baharu yang bakal dilaksanakan oleh UMNO sekiranya turut melibatkan kerjasama dengan PKR atau mana-mana komponen Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, jika kerjasama UMNO dengan PKR dimaksudkan sebagai jajaran baharu, parti berslogankan Membangun Bersama Islam itu tidak dapat menerimanya.

Katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai audio rakaman perbualan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tak tahu (audio itu) tulen atau tidak. Keputusan Pas muktamad, tidak boleh terima PH kerana tidak tunai janji dalam manifesto.

“(Jika benar) itu sebahagian daripada jajaran baharu.. itu adalah tanda-tanda jajaran baharu,” katanya kepada pemberita di Terengganu, hari ini.

Ditanya adakah Pas akan meneruskan kerjasama dengan UMNO bila ada jajaran baharu? Abdul Hadi menjawab, parti itu akan terus dengan Perikatan Nasional (PN), bukan dengan jajaran baharu.

Menurut beliau, Pas menolak jajaran baharu dan jika ada, parti itu tidak akan menerimanya untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Tidak, tidak, kita tak akan terima (jajaran baharu UMNO). Kita setuju dengan Muafakat Nasional (MN) bukan saja melibatkan UMNO, kena juga melibatkan parti Bersatu, semua kumpulan Melayu Islam, bumiputera, masyarakat majmuk dan PN.

Mengenai desakan dalam UMNO supaya Ahmad Zahid berundur, Abdul Hadi berkata, itu terpulang kepada UMNO, beliau tidak campur. – MalaysiaGazette