Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah sebanyak RM60,000 kepada semua peminjam menerusi peraduan JomPAY and Win.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program yang telah diadakan pada 1 November 2020 sehingga 31 Januari lalu merupakan kolaborasi pihaknya dengan AmBank bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Jelasnya, program itu dilaksanakan bagi menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran atas talian JomPAY.

“Peraduan ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran atas talian JomPAY.

“Peminjam hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minima RM100 untuk melayakkan mereka mendapat satu cabutan peraduan.

“Hadiah yang ditawarkan adalah tajaan sepenuhnya oleh pihak PayNet dimana kepada peminjam PTPTN mereka bakal menerima hadiah lumayan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000 untuk 65 pemenang.

“Hadiah pemenang utama berupa RM10,000, tempat kedua RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000. Manakala tempat keempat RM4,000 dan tempat kelima adalah RM3,000. Bagi hadiah pemenang saguhati pula adalah bernilai RM500 untuk setiap 60 pemenang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang Peraduan JomPAY and Win! berlangsung, seramai 179,871 peminjam telah melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui saluran JomPAY. Ia melibatkan jumlah keseluruhan bayaran yang diterima melalui saluran JomPAY adalah berjumlah RM48.8 juta.

Manakala, seramai 78,498 peminjam layak menyertai peraduan ini.

Dalam masa sama, Ahmad Dasuki berkata, kolaborasi yang sama bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian di kala pendemik Covid-19 masih melanda.

“Selain itu, peminjam PTPTN juga dapat menyertai peraduan yang dianjurkan dan memenangi wang tunai sebagai tambahan kewangan untuk mereka membayar balik pinjaman mereka.

“Kami sentiasa mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat lain untuk turut sama mengadakan kerjasama berbentuk kempen, peraduan mahupun sumbangan dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN bagi membantu peminjam menyelesaikan pinjaman mereka atau sebagai simpanan SSPN,” ujarnya.

AmBank telah bekerjasama dengan PTPTN sejak tahun 2017 dalam mendorong peminjam dan pendeposit melakukan pembayaran melalui saluran atas talian JomPAY di mana para peminjam dan pendeposit boleh melakukan transaksi JomPAY tanpa sebarang kos.

Dengan lebih daripada 8,000 pengebil di seluruh negara, JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil atas talian terbesar di Malaysia, yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada para pelanggan melalui mana-mana 42 buah bank di Malaysia.

AmBank telah mencatatkan pertumbuhan mencecah 115 peratus dalam nilai kutipan JomPAY untuk PTPTN daripada RM116,917,339 pada tahun 2017 ke RM251,707,240 pada tahun 2020. Dalam tempoh yang sama, jumlah transaksi meningkat sebanyak 186 peratus iaitu daripada 332,511 pada tahun 2017 ke 952,783 pada tahun 2020.

Senarai pemenang Peraduan JomPAY and Win! boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. Para pemenang juga boleh membuat semakan berkenaan wang tunai yang dimenangi di penyata pinjaman dan SSPN-i masing-masing bermula 16 Mac ini. – MalaysiaGazette