KUALA LUMPUR – Purata harga jualan gas asli untuk diguna pakai bagi Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES) bagi Semenanjung Malaysia untuk suku kedua daripada 1 April 2021 hingga 30 Jun 2021 telah ditetapkan pada RM26.85 setiap satu juta Unit Terma British (MMBtu).

Purata harga jualan gas asli itu termasuk tarif pengangkutan sebanyak RM1.19 setiap MMBtu, pelepasan kos gas sebanyak RM0.62 bagi setiap MMBtu dan tarif pengedaran sebanyak RM2.05 bagi setiap MMBtu seperti yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga sebelum ini, menurut Gas Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

GMES adalah anak syarikat milik penuh Gas Malaysia.

”Gas Malaysia ingin menjelaskan bahawa semakan harga jualan ini tidak terpakai untuk jualan gas asli bagi kenderaan gas asli dan gas petroleum cecair yang dibekalkan dalam silinder gas atau secara pukal.

”Semakan harga jualan ini akan terus menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021,” katanya. – MalaysiaGazette