Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. (kanan) menanyakan sesuatu kepada salah sorang peserta selepas merasmikan program Digital@Jeli Pondok Moden.

JELI – Hanya empat peratus daripada RM1.7 bilion peruntukan yang disediakan kerajaan telah digunakan menerusi empat pakej rangsangan ekonomi bagi sektor pendigitalan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata justeru, pihaknya akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti sebab kadar penggunaan peruntukan itu yang amat sedikit.

“Ada beberapa skim di bawah pakej rangsangan yang melibatkan RM1.7 bilion iaitu angka yang besar diperuntukkan kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serta mikro… tetapi tahap penggunaan agak kecil.

“Melalui beberapa program yang dianjurkan seperti Program Digital@Jeli ini, kita akan tanya peserta sama ada mereka tahu atau tidak berkaitan empat pakej yang telah kerajaan lancarkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu di Pondok Moden di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC Zulkifli Ya’acob dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Profesor Tan Sri Dr Arham Abdullah.

Antara pakej rangsangan ekonomi bagi sektor itu ialah Geran Digitalisasi PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Skim Transformasi Pendigitalan Industri menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), masing-masing dengan peruntukan RM100 juta dan RM16 juta.

Mustapa berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan setiap inisiatif, termasuk memantau perkembangan MyDigital-Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan kerajaan, diketahui setiap masyarakat terutama di luar bandar.

“Misi saya adalah untuk pastikan apa yang kita buat di Kuala Lumpur, penduduk kampung juga mengetahui dan merasainya (manfaat),” kata Ahli Parlimen Jeli itu.

Mengulas Program Digital@Jeli, beliau berkata ia merupakan kursus bagi membantu 30 usahawan kecil berpendapatan kurang RM3,000 dan mengajar mereka meluaskan pasaran perniagaan melalui platform digital.

Katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga merancang meningkatkan capaian Internet di kira-kira 13 kawasan sekitar Jeli sekali gus boleh memudah serta meningkatkan penglibatan penduduk di Parlimen itu dalam bidang perniagaan digital.- BERNAMA