KUALA LUMPUR – Peneraju pembekal dan peruncit jubin, mozek batu dan barang sanitari terkemuka, Jubin BMS Sdn Bhd melancarkan bilik pameran baharu tiga tingkatnyadi Tebrau 3, Johor Bahru baru-baru ini.
Kompleks yang baru dinaik taraf itu menggabungkan ruang pameran sedia ada sehingga mencapai keluasan sekitar 70,000 kaki persegi.
Menerusi kemudahan baharu itu, pelanggan boleh melihat pelbagai jenis jubin, batu, mozek dan kelengkapan kebersihan daripada pelbagai jenama bertaraf dunia yang dipamerkan menerusi bilik pameran inovatif.
Pelancaran itu disaksikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bagi Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full.
Pada pelancaran itu, syarikat berkenaan turut menerima anugerah rasmi daripada Malaysia Book of Records bagi ruang pameran jubin dan barang kebersihan terbesar di Malaysia.
Kompleks berkenaan turut menggabungkan sistem logistik dan gudang yang cekap bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pelanggan.
Pengarah Urusannya, Ang Kwee Peng berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan pelancaran premis baharu yang lebih luas itu.
“Pembangunan berterusan kami bukan sekadar dari segi saiz, malah ia turut merangkumi kandungan dan kualiti,.
“Ketika kami berusaha untuk menawarkan pelanggan dengan produk terkemuka, pengalaman membeli-belah lebih baik dan lebih banyak inspirasi untuk reka bentuk dalaman boleh didapati di sini.
“Walaupun kebanyakan pelanggan berdepan dengan tempoh yang mencabar ketika ini, Jubin BMS tetap meneruskan misinya sejak 1990 bagi membantu pelanggan kami menjadikan impian sebagai kenyataan.
“Dengan kebanyakan orang meluangkan lebih masa di rumah disebabkan pandemik dan norma baharu, kami percaya pelancaran Kompleks BMS tepat pada masanya memandangkan pelanggan mencari produk dan perkhidmatan rekaan kediaman yang lebih baik yang mana ditawarkan oleh kami,” katanya.
Tingkat pertama BMS Kompleks menawarkan Galeri Stone & Surface yang mempamerkan pelbagai rangkaian marmar dan granit semula jadi yang menarik dan bahan permukaan berformat besar lain yang dihasilkan menerusi terknologi canggih terkini.
Produk tersebut sukar diperoleh di pasaran kerana memerlukan ruang yang besar dan kemahiran pengendalian serta fabrikasi khusus untuk dipamerkan.
Pada bahagian di tingkat dua pula terdapat Galeri Bath & Wellness yang mengandungi koleksi barang kebersihan yang luas dari jenama Jerman (Steinberg) dan Itali (Fima Carlo Frattini) hinggalah jenama pengedaran eksklusif dari Thailand (Cotto) dan jenama OEM (Eurano).
Di samping itu, tingkat ketiga pada bangunan itu dilengkapi dengan dewan serbaguna iaitu ruang acara lengkap untuk konvensyen, latihan, seminar dan acara lain. – MalaysiaGazette