Rais Yatim bercakap kepada media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53/54 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Penafian terhadap rakaman audio yang dilakukan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak memadai dan ia harus disokong dengan pembuktian.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sebaliknya menegaskan satu siasatan forensik perlu dijalankan pihak berkuasa terhadap kedua-dua pemimpin politik itu bagi meyakinkan rakyat dan menjernihkan keadaan.

“Pihak berkuasa harus mencari pakar audio atau pakar suara dengan gandingan bukti serta fenomena untuk supaya dapat disahkan sama ada itu suara saudara Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dimiliki Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Kedua-dua itu harus dijalankan tugas jika tidak hal ini menjadi sentiasa menjadi sampingan duri dalam daging,” katanya kepada pemberita di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.

Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, suara mirip Anwar antara lain memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat selama 22 tahun.

Dalam pada itu, Rais tidak merasakan membuat penafian sahaja cukup untuk meyakinkan rakyat dan akar umbi penyokong parti masing-masing kerana kedua-dua tokoh ini amat dikenali ramai.

“Sukar untuk meyakinkan dengan begitu saja (penafian) lantaran suara kedua-dua pemimpin ini dikenal ramai lunaknya intonasinya, pekikannya, itu didengar oleh masyarakat.

“Kalau dia nafi, penafian itu harus substantif dan sifat substantif itulah harus dibuktikan menerusi forensik.

“Saya harap ada tindakan daripada pihak berkuasa dan yang mahir dalam industri audio,” katanya.

Katanya lagi, jika siasatan forensik itu tidak dilakukan segera, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu hanya akan memecahbelahkan orang Melayu.

“Politik orang Melayu hari ini terlalu berkecamuk terlalu rumit sedangkan kita mempunyai matlamat nasional, kebangsaan yang berkaitan dengan masa depan negara kita.

“Sekiranya masalah tidak menidakkan masalah, menjadikan bahan-bahan sebagai perkara yang memecahbelahkan kita.

“Ini tidak akan melunakkan keadaan dan sukar bagi kerajaan yang berkuasa untuk meneruskan tanggungjawab,” jelasnya.

Tambahnya, jika perkara itu berterusan, ia tidak lebih sekadar merendahkan tahap dan standard politik orang Melayu di negara ini.

“Saya nak tanya orang Tionghua tak ada buat macam itu, kita yang Muslim ini kenapa harus muncul perkara seperti ini

“Sistem nilai kita sudah mula reput, sebab itu kita tak berpegang lagi kepada perkara benar dan tidak mempetuakan pendidikan pada diri dan kumpulan.

“Berilah peluang kepada situasi kerajaan hari ini supaya dapat membina satu tahap yang kuat dan selepas itu dalam pilihan raya ditentukan apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette