Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan tamat pada esok.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 123 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 29 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

KKM juga mengesahkan berlaku penurunan dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 6 April 2021 iaitu sebanyak dua kes, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, KKM juga memaklumkan semua kes positif telah menerima rawatan manakala kontak rapat telah diasingkan dan dipantau.

”Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir
Puteh, Kelantan pada 11 April 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette