Pengumuman kematian Putera Philip, Duke of Edinburgh disiarkan di televisyen besar di Piccadilly Circus. foto Agensi

LONDON – Penduduk Britain yang berkabung ekoran kematian Putera Philip diminta tidak berkumpul secara beramai-ramai atau meletakkan bunga di perkarangan istana bagi mematuhi garis panduan penjarakan sosial dalam usaha mengekang koronavirus.

Philip, suami Ratu Elizabeth yang membantu memodenkan monarki meninggal dunia pada hari Jumaat di Istana Windsor Castle.

Beliau berusia 99 tahun.

Selepas pengumuman kematian dibuat, radio dan stesen televisyen telah memainkan lagu kebangsaan “God Save The Queen”.

Bendera Union dikibar setengah tiang di semua kediaman dan bangunan Kerajaan Britain.

Penghormatan kepada Philip dilancarkan di Piccadilly Circus dan ucapan takziah diterima dari seluruh dunia untuk veteran tentera laut Perang Dunia II.

Orang ramai masih meletakkan bunga di sebelah bendera Britain di luar Istana Buckingham dan di tembok Istana Windsor, walaupun kerajaan menegah berbuat demikian.

“Dengan mempertimbangkan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, dan sesuai dengan panduan pemerintah, orang ramai diminta untuk tidak berkumpul.

“Mereka yang ingin mengucapkan takziah diminta untuk melakukannya dengan cara yang paling aman dan tidak berkumpul di istana-istana,” kata Istana Buckingham.

Jurucakap Pejabat Kabinet meminta agar “penghormatan bunga tidak diletakkan di istana-istana pada masa ini”.

Setakat ini urusan pengebumian Philip yang selalnya menolak kemegahan yang tidak perlu selama hidupnya, masih belum dapat disahkan oleh Ratu Elizabeth.

“Pengebumian dan upacara istiadat untuk Duke of Edinburgh sedang dipertimbangkan oleh Ratu Elizabeth,” kata Istana.- MalaysiaGazette