Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO akan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung audio rakaman perbualan yang dikatakan mirip suara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan, polis telah menerima beberapa laporan yang dibuat pihak tertentu dan difahamkan sudah membuka kertas siasatan.

“Saya tidak boleh komen sebab isu itu sudah menjadi kes polis. Biar mereka menjalankan siasatan untuk pastikan kesahihan perbualan ‘kedua pemimpin’ itu.

“Bagi pihak UMNO, Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sudah membuat penafian,” katanya dalam hantaran Facebooknya, semalam.

Shahril Sufian turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak cuba menangguk di air keruh dengan isu berkenaan, kerana banyak lagi isu berkaitan rakyat perlu diberi tumpuan dan diselesaikan.

Malah, jika ianya berlaku dalam UMNO, parti tahu untuk menyelesaikannya, tidak perlu kepada campur tangan pihak luar.

“Selesai program #SYT tadi, media bertanya pelbagai soalan berkenaan program, ada juga soalan berkaitan isu audio yang tular dan menimbulkan polemik.

“Bagi menghormati arahan dan keputusan Mesyuarat Pengurusan parti, setiap kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

“Lagi pun tuan tubuh badan sudah menafikannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast