Majlis makan malam meraikan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Gong Tok Nasek yang meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan di sini baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – UMNO Bahagian Kuala Terengganu mengambil inisiatif menjadi pemudah cara dalam usaha membantu orang awam termasuklah warga emas yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia bagi melicinkan proses pendaftaran golongan itu yang tidak memiliki gajet yang canggih dan liputan internet yang tidak pantas.

Jelas beliau, menerusi usaha tersebut, ia diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya proses vaksinasi dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

“UMNO Bahagian Kuala Terengganu sentiasa mendekati masyarakat terutama warga emas menerusi program-program yang dianjurkan.

“Kita memeberi tumpuan untuk pendaftaran ini sebab masih ada misalnya warga emas yang belum berdaftar.

“Kita akan bantu untuk pendaftaran sama ada melalui (aplikasi) MySejahtera atau kita tolong daftarkan untuk mereka sebab mustahak untuk pastikan semua mendaftar dan mendapat vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis makan malam meraikan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Gong Tok Nasek yang meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan di sini baru-baru ini.

KRT itu sebelum ini pernah meraih Johan kategori Rukun Tetangga Terbaik pada tahun 2008 dan 2012, dan kini terkenal dengan produk seperti Songket Gong Baru.

Sementara itu, Najmil Faiz berkata, pihaknya sentiasa  menyokong usaha KRT  dalam kejayaan dan pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai penghasilan produk keluaran tempatan.
Jelas beliau,  kejayaan yang dicipta KRT Kampung Gong Baru itu menandakan matlamat penubuhan komuniti telah tercapai. – MalaysiaGazette