Bayi lelaki ditinggalkan bersama sekeping nota di Jelutong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – ‘Tolong jaga budak ini’, itulah nota yang ditinggalkan bersama seorang bayi lelaki di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong di sini semalam.

Bayi yang dibalut dengan kain tuala berwarna hijau muda itu ditemui seorang lelaki berusia 43 tahun ketika melawat rakannya di persatuan berkenaan pada jam 7.40 malam.

Soffian Santong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bayi itu ditemui semasa lelaki tersebut membuka pintu utama persatuan.

Katanya, lelaki itu menghampiri bayi berkenaan selepas melihat satu objek dibaluti tuala.

“Bayi berada dalam keadaan baik dan tidak menangis sebelum dibawa masuk ke dalam persatuan untuk dipakaikan pakaian serta diberi susu formula.

Sekeping nota yang ditinggalkan bersama bayi lelaki itu.

“Susulan itu, pihak polis hadir ke lokasi kejadian namun bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan berikutan mengalami jaundis.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian namun terdapat satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 019-5641822 atau balai polis yang berhampiran. -MalaysiaGazette